Saturday, September 5, 2015

My Six Weeks Journey of Losing Weight





Hello. Saya Faralyna Aisyah, seorang wanita yang sememangnya berbadan besar sejak kecil. Saya dahulunya seorang jurutera elektrik di sebuah syarikat consultant, namun telah berhenti kerja dan sekarang sedang menyambung pengajian di Unimas. Tekanan sewaktu belajar dan kerja sememangnya membuatkan saya seorang yang kuat makan dan kepenatan serta keletihan setelah bekerja dan menghadiri kuliah sepanjang hari menjadi alasan utama saya kurang/tidak bersenam.

Niat untuk mengurangkan berat badan di samping mengamalkan gaya hidup yang sihat telah bermula sejak saya di Tingkatan 1 lagi. Pada ketika itu, berat saya di dalam lingkungan 65 kg dan berketinggian lebih kurang 150 cm. Namun, harapan tinggal harapan. Setiap kali keluarga saya bertanyakan tentang keazaman dan janji saya untuk kurus, saya dengan selambanya menjawab, tunggulah hujung tahun. Hujung tahun telah 13 kali tiba sejak kali pertama saya mengutarakan niat untuk kurus. Namun, berat saya semakin bertambah tahun demi tahun tanpa saya sedari, sehinggalah ianya mencecah 81.2 kg pada awal Oktober 2014, berat saya yang paling berat selama 26 tahun saya hidup. Saya tergamam. Dengan ketinggian terkini 155cm, saya dikategorikan sebagai Obes Tahap 1 (BMI : 33.8)

Perasaan takut mula menyelubungi hati saya, ditambah dengan kesakitan di lutut semenjak saya jatuh menyebabkan saya risau dengan pergerakan fizikal saya. Saya mula mencari jenis diet yang saya boleh ikuti, dan saya terjumpa Kelab Diet Atkin di Facebook. Saya membuat sedikit kajian berkenaan Diet Atkin, dan mula membuat diet ini bermula awal November 2014. Perjalanan diet saya sedikit lambat kerana terlalu banyak cheat day (boleh diakatakn pada setiap dua hari). Berat saya pada hari terakhir puasa pada 16 Julai lalu ialah 69.6 kg, bermakna saya telah berjaya turun 11.6 kg. Tetapi bermula pada hari pertama raya sehingga kini, saya telah melupakan diet Atkin (kononnya untuk seketika sahaja), namun malangnya sehingga ke saat post ini ditulis (4 September 2015), saya masih tidak berjaya untuk memulakan semula diet Atkin tersebut.

Saya kembali risau, apatah lagi melihat angka pertama berat saya telah kembali ke angka 7. Berat terkini saya adalah 74.6 kg (naik 5 kg OMG!). Saya kembali mencari diet dan senaman yang boleh saya ikuti tanpa strict diet dan schedule.

Dan di sinilah saya terjumpa cabaran Jom Kurus Musim ke-5 Kevin Zahri. Sebenarnya, saya telah mengetahui tentang wujudnya cabaran ini, namun sebelum ini tidak berpeluang untuk mendaftar dan mengikuti cabaran ini (ada masanya cabaran ini telah bermula, ada masanya saya terlalu sibuk dengan pengajian). Alhamdulillah, pada musim ini saya berpeluang mengikuti cabaran Jom Kurus ini untuk kawasan Kuching, Sarawak.

Dan esok, 5 September 2015 akan bermulalah cabaran Jom Kurus untuk musim ini. Semoga dengan bimbingan coach Nazim Bujang dan rakan-rakan yang sama-sama menyertai cabaran ini serta sokongan padu daripada keluarga tersayang, saya akan berjaya mengharungi cabaran 6 minggu ini dengan penuh kesabaran, keseronokan dan istiqamah. In sha Allah.



Okay, saya akan update aktiviti yang kami lakukan pada setiap minggu bermula pada esok hari. Nantikan. JJ




No comments:

Post a Comment